Walaupun PT3 bukan "peperiksaan" tetapi hanyalah "penilaian", tetapi perubahan mendadak yang berlaku masih memberi impak kepada pendidik dan pelajar.

PETALING JAYA – Tindakan kerajaan yang menambahkan ujian bertulis untuk mata pelajaran Sejarah dan Geografi dalam PT3 mewujudkan keadaan kelam-kabut dalam kalangan murid dan cikgu.

Daripada menggunakan 100 peratus penilaian ke atas projek, Lembaga Peperiksaan telah mengubah format penilaian dengan projek hanya menyumbang 20 peratus dalam jumlah penilaian.

Sinchew Daily melaporkan, keadaan itu telah menimbulkan keadaan kelam-kabut terutamanya kerana penilaian bertulis akan mengambil tempat pada Oktober.

“Pelan pembelajaran dan pengajaran sudah pun ditetapkan dan perubahan yang diumumkan pasti memberi impak.

“Keadaan bertambah keruh kerana pihak berkenaan hanya mengumumkan perubahan, tetapi tidak memaklumkan perkara lanjut mengenai perubahan yang berlaku, ”  kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina, Goh Boon Poh.

Katanya, pihak berkenaan sebelum ini pernah merancang pelaksanaan PT1 dan PT2, tetapi ia gagal direalisasikan kerana persediaan yang tidak mencukupi.

“Berikutan daripadanya, penilaian hanya akan dilaksana pada tahun ketiga, dan sekali lagi masalah persediaan telah ditimbulkan.

“Mereka asyik melakukan perubahan selepas mengesan wujud kesilapan dan masalah, keadaan inilah yang menjurus kepada pertambahan ujian bertulis dalam PT3 secara tiba-tiba,” katanya.

Menurutnya, walaupun PT3 bukan “peperiksaan” tetapi hanyalah “penilaian”, tetapi perubahan mendadak yang berlaku masih  memberi impak kepada pendidik dan pelajar.

“Kerajaan baharu harus menghapuskan amalan seperti ini.

“Sebelum mengumumkan apa-apa polisi, pegawai haruslah membuat pertimbangan teliti dan mengumpulkan pandangan semua pihak selain memastikan mempunyai masa mencukupi untuk melaksanakan dasar berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette