Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield hari ini memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Foto hiasan

SHAH ALAM –  Sangat mustahil kepatahan tulang rusuk pertama hingga ketujuh di bahagian kiri belakang Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim disebabkan oleh hentakan objek atau lebih tepat belakang parang. 

Selain memerlukan daya kuat untuk menghayun objek di belakang Adib, dalam masa yang sama corak kecederaan yang dialami oleh Allahyarham juga tidak konsisten dengan perbuatan tersebut. 

Kesan akibat hentakan atau pukulan objek juga akan menghasilkan calar, namun ia tidak berlaku pada di belakang bahagian kiri Adib.

Itu keterangan saksi ke-24 inkues kematian anggota bomba itu pada hari ke-17 iaitu  Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Doktor Ahmad Hafizam Hasmi.

“Kebarangkalian untuk mendapat kecederaan pada bahagian belakang kiri Muhammad Adib Mohd Kassim jika diukur menggunakan objek seperti belakang parang untuk kes ini adalah sangat mustahil.

“Impak perlu kuat dengan menghayun jika dipukul belakang si mati kemungkinan yang patah tulang rusuk yang menerima impak . Objek juga dalam keadaan menegak kalau objek itu tegak untuk dipukul ia tidak dapat menghasilkan daya yang kuat.

“Jika objek itu ditarik juga mesti ada calar si mati tiada calar di belakangnya itu,” katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini. 

Selain itu, Ahmad Hafizam menganggap tiada kemungkinan Adib dipukul selepas jatuh selepas didorong daun pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kerana tiada corak kecederaan yang berbeza daripada lebam di bahagian kanan hadapannya. 

“Berdasarkan cedera bahagian hadapan dada kanan tersebut objek yang boleh menyebabkannya satu objek yang tumpul, keras permukaannya sedikit lebar.

“Jika berlaku impak dan kemudian tindakan atau pukulan kuat, tindakan yang boleh menyebabkannya mesti kuat sehingga meninggalkan kesan di luar badan dan boleh dilihat,” tambahnya. 

Hasil pemeriksaan sewaktu anggota bomba itu masih hidup dan bedah siasat juga, ujar beliau lagi, tidak menemui kecederaan yang terhasil akibat ditarik keluar daripada van EMRS.

“Berdasarkan keterangan dan bedah siasat saya, saya tak dapat pastikan bedah siasat beliau ditarik, walaubagaimanapun tiada kecederaan anggota kiri si mati yang menunjukkan adanya kecederaan akibat ditarik orang.

“Untuk seseorang ditarik keluar daripada kenderaan secara paksa, seringkali akan terdapat kecederaan atau kesan genggaman, pada bahagian yang ditarik tersebut tapi dalam kes ini tidak ada sebarang kesan pada anggota atas kiri si mati.

“Saya dimaklumkan si mati penumpang hadapan sebelah kiri jika ditarik keluar daripada kenderaan tersebut pastinya mengakibatkan kecederaan bahagian kiri kerana itu sahaja kecederaan yang boleh diakses,” katanya lagi. 

Namun begitu, beliau tidak menolak tiada kecederaan akan berlaku di badan mangsa jika ditarik pada baju walaubagaimanapun kesan secara tidak langsung akan terjadi terhadap kulit yang bersentuhan. -MalaysiaGazette