Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai
Liow Tiong Lai

PETALING JAYA – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengendalikan dua kes besar pada dua minggu akan datang!

SInchew Daily melaporkan, selain menyiasat isu berkenaan kerugian Khazanah Nasional, PAC juga akan memanggil bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung tender pelaksaan sistem permit kemasukan kenderaan (VEP).

Tiong Lai akan dipanggil menghadap PAC pada 27 Mac manakala bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Dr. Ismail Bakar akan dipanggil sehari sebelumnya.

Tiong Lai sebelum ini dilaporkan dipanggil PAC untuk menerangkan bagaimana sistem VEP antara Johor dan Singapura dianugerahkan dan dilaksanakan pada tahun 2015.

Ini berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2017 mempersoalkan pelaksanaan sistem bernilai RM149.45 juta yang dilihat bukan sahaja terdapat peningkatan drastik dalam perbelanjaan operasi, tetapi juga dianugerahkan menerusi rundingan terus dan bukan tender terbuka.

Untuk isu kerugian Khazanah Nasional pula, pengarah urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan akan dipanggil memberi keterangan pada 1 April.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini berkata, kerugian dialami Khazanah Nasional berpunca daripada pelaburan dibuat kerajaan terdahulu sebelum Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan.

Beliau berkata, kerugian terbesar Khazanah disebabkan pelaburannya dalam Malaysia Airlines Berhad yang gagal memperbaiki prestasi syarikat penerbangan itu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan