Doktor Ahmad Hafizam Hasmi

SHAH ALAM – Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) memohon Mahkamah Koroner memanggil mana-mana saksi yang mempunyai maklumat lain tentang kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Doktor Ahmad Hafizam Hasmi berkata demikian di hadapan Hakim Rofiah Mohamad selepas Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah menunjukkan keratan posting Facebook seorang jururawat wanita  dikenali sebagai Cik Mierra yang bertugas di Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam posting tersebut Cik Mierra didakwa mendedahkan keadaan sebenar Muhammad Adib.

Selain maklumat yang didapatinya berdasarkan bedah siasat, Ahmad Hafizam berlapang dada jika ada pihak yang tampil ke hadapan.

“(Berdasarkan posting Cik Mierra) Saya dicaci dan dianggap berbohong.

“Jika boleh kita cuma mencari kebenaran, jika sesiapa mempunyai maklumat lain terhadap kematian pada si mati yang saya tidak jumpa sewaktu pemeriksaan klinikal dan bedah siasat saya mohon puan koroner memanggil ke mahkamah untuk kita tuntaskan perkara ini,” katanya. 

Jururawat itu baru-baru mencetuskan perhatian apabila mendakwa anggota bomba itu sebenarnya dipukul, sekali gus menafikan keterangan pakar forensik dalam inkues yang menyatakan kecederaan dialaminya tidak menunjukkan seperti arwah dipukul.

Ia susulan kenyataan Ahmad Hafizam yang dibuat di mahkamah pada minggu lalu menyatakan kecederaan Adib bukan kerana dipukul.

Cik Mierra mendakwa kenyataan itu palsu.

Pakar Forensik itu juga sekali lagi menegaskan kepada mahkamah bahawa tiada kecederaan di muka Adib seperti yang didakwa Cik Mierra. 

“Kami tidak menjumpai kecederaan pada muka si mati sama ada pemeriksaan klinikal dan bedah siasat pada kepala yang dijumpai hanyalah kudis tekanan,” tambah beliau. -MalaysiaGazette