KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak kena menjelaskan kenapa bersetuju menjual tanah dan bangunan di Hong Kong secara rundingan terus dengan harga rendah?
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Najib cuba mengelak daripada menjawabnya sebaliknya mantan Perdana Menteri itu mengalihkan perhatian dengan bertanyakan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Tanah dan bangunan di Hong Kong itu merupakan Bangunan Pejabat Konsulat Malaysia dan semasa kerajaan Barisan Nasional memerintah, ia dijual dan dilupuskan secara rundingan terus pada 14 Mac 2018.
Ia disebabkan kos membaik pulih bangunan tersebut terlalu tinggi hingga mencecah RM300 juta.
“Kerajaan terdahulu telah memutuskan untuk menjual tanah dan bangunan tersebut di Hong Kong secara rundingan terus kepada sebuah syarikat dengan harga RM1.1 bilion di mana surat tawaran dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) sebelum 9 Mei 2018.
“Akan tetapi selepas perubahan kerajaan, MOF telah menerima beberapa tawaran lain pada nilai yang lebih tinggi, setinggi RM1.6 bilion berbanding dengan harga yang ditawarkan oleh Kerajaan terdahulu melalui rundingan terus sebanyak RM1.1 bilion.
“Oleh itu, MOF dengan kelulusan kabinet, telah memutuskan supaya penjualan tanah dan bangunan ini tidak dilakukan secara rundingan terus, sebaliknya secara tender terbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Guan Eng, proses penjualan dan pelupusan hartanah tersebut akan dilakukan dengan cara tersebut untuk memastikan kerajaan mendapat nilai terbaik daripada penjualan hartanah tersebut.
Keputusan ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjalankan pentadbiran dengan berpandukan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) untuk memastikan kebajikan rakyat dipelihara dengan sebaiknya dalam setiap keadaan.
Proses tender terbuka untuk penjualan tanah dan bangunan tersebut sedang berjalan dan diyakini akan dapat memberikan hasil yang bersesuaian dengan nilai sebenar hartanah tersebut selain memberikan penjimatan terhadap perbelanjaan kewangan kerajaan.
“Kini tiba masanya untuk mantan Menteri Kewangan (Najib) jelaskan mengapa beliau bersetuju dengan penjualan tanah dan bangunan tersebut secara rundingan terus dengan harga yang begitu rendah sebanyak RM1.1 bilion berbanding dengan harga tawaran lain setinggi RM1.6 bilion?” soalnya.- MalaysiaGazette