Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad (tengah) bergambar kenangan bersama ahli-ahli Majlis Penasihat Kesihatan, (dari kiri) Pengarah Teknikal Projek Sistem Kesihatan Malaysia, Harvard School of Public Health, Dr. Yap Wei Aun, Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr. Musa Nordin, Mantan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Datuk Abu Bakar Sulaiman, Profesor Ekonomi dan Kajian Pembangunan, Universiti Malaya, Tan Sri Datuk Kamal Salih, Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof. Datuk Adeeba Kamarulzaman dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Gleneagles, Datuk Dr. Alex Mathews selepas sidang media khas pengumuman Penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan di Bilik Mesyuarat Utama, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur . foto NOOREEZA HASHIM, 27 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar pembinaan Hospital Pasir Gudang disegerakan dan kerajaan kini dalam proses membinanya.

Kini pembinaan hospital berkenaan sudah dalam proses pra kelayakan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefley Ahmad.

Menurutnya, proses tender pra kelayakan sudah pun dibuat oleh pihaknya dan menunggu untuk proses saringan.

“Kita telah membuka proses tender pra kelayakan yang telah dibuat dan akan ditutup pada 4 April depan. Perkara ini telah ada dalam perincian mereka yang terlibat dalam tender ini dan tidak ada masalah untuk saya sebutkan.

“Kita akan lakukan kerja-kerja ini dalam rangka kerja dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah kita tetapkan bagi mana-mana pembangunan fasiliti kita di negara ini,” katanya dalam sidang media sempena pengumuman tujuh ahli Majlis Penasihat Kesihatan di kementerian itu hari ini.

Pada Sabtu lalu, Sultan Ibrahim bertitah pembinaan Hospital Pasir Gudang sudah pun ada dalam perancangan kerajaan dan diharapkan pembinaannya dapat dipercepatkan.

“Saya percaya bahawa negeri Johor adalah antara penyumbang utama kepada hasil pendapatan kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, adalah wajar dan adil jika lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan kepada Johor terutamanya untuk menaik taraf kemudahan perkhidmatan kesihatan, pengangkutan awam dan jaringan lebuhraya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor di Dewan Singgahsana Istana Besar.

Dalam sidang media sama, Dzulkefly turut memperkenalkan tujuh ahli Majlis Penasihat Kesihatan bagi berkongsi idea dan pandangan dalam mengetengahkan isu-isu dan penyelesaian berkaitan sektor kesihatan negara.

Antaranya Mantan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan Pengerusi IMU Group, Tan Sri Datuk Abu Bakar Sulaiman; Ketua Setiausaha, Perkongsian, Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, Tan Sri Jemilah Mahmood; Prof. Ekonomi dan Kajian Pembangunan, Universiti Malaya, Tan Sri Datuk Kamal Mat Salih; Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba binti Kamarulzaman; Pakar Perunding Pediatrik, Hospital KPJ Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin; Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Gleneagles, Datuk Dr Alex Mathews dan Pengarah Teknikal, Projek Sistem Kesihatan Malaysia, Harvard School of Public Health, Dr Yap Wel Aun.

“Majlis ini akan bermesyuarat sekurang-kurangnya 12 kali setahun atau berdasarkan keperluan yang ditentukan oleh Menteri. Majlis juga dibenarkan merujuk pakar bidang khusus untuk hal-hal diluar kepakaran majlis dan boleh mewujudkan jawatankuasa kecil sementara bagi membantu dalam membincangkan perkara berkaitan,” tambah Dzulkefly.

Tugas utama majlis berkenaan adalah mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil ke arah reformasi sistem kesihatan sedia ada.

Ini termasuk mencari kaedah kearah penstrukturan semua KKM, serta transformasi perkhidmatan sistem penyampaian kesihatan.

Penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan telah diluluskan dalam Mesyuarat Kabinet pada 15 Januari lepas. -MalaysiaGazette