Dewan Rakyat
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Yb Gobind Singh Deo bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Semua pengamal media akan diajak untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam usaha mendapatkan pandangan sama ada perlunya penggubalan undang-undang khusus bagi melindungi wartawan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menegaskan, pihaknya memandang serius perkara itu dan mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan kekerasan terhadap wartawan yang menjalankan tugas.

“Perkara ini telah dibangkitkan dalam Dewan Rakyat tadi sama ada perlu atau tidak kita mempunyai undang-undang khusus menjaga kepentingan wartawan.

“Pada saya, undang-undang yang wujud sedia ada boleh lindungi dan menjamin hak wartawan semasa bertugas.

“(Namun begitu), sama ada perlu atau tidak, saya akan berbincang dengan pihak media apabila saya berjumpa dengan anda semua nanti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu Gobind berkata, wartawan tidak wajar dilayan dengan kasar kerana mereka hanya menjalankan tugas masing-masing.

Jelasnya, sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu laporan media, semua pihak mempunyai peluang untuk menghubungi dan meminta pihak media memperbetulkannya. – MalaysiaGazette