Mohamad Firdhaus Ramli

SHAH ALAM – Tiada kesan penglibatan manusia pada jentera Fire Rescue Tender (FRT)  dan van Perkhidmatan Penyelamat dan Perawatan Kecemasan (EMRS).

Itu kenyataan Pegawai Sains Forensik di Jabatan Kriminalisitik Jabatan Kimia Malaysia, Mohamad Firdhaus Ramli sebagai saksi ke-26 inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Kassim di sini hari ini.

Menurut Mohamad Firdhaus, 33, hasil pemeriksaan yang dijalankan pada 5 Disember 2018 itu juga membuktikan tiada salah satu daripada kenderaan bomba itu yang menunjukkan kesan melanggar manusia. 

“Saya tidak menemui sebarang bukti mengaitkan kedua-dua pelanggaran dengan manusia,” katanya kepada mahkamah koroner.

Menurutny, tiada sebarang bukti fizikal sama ada baju, fiber atau darah atau rambut di kedua-dua kenderaan tersebut.

Mohamad Firdhaus  turut menganalisa daun pintu van EMRS namun ia hanya melibatkan bahagian luar sahaja. 

Bahagian kemik di kawasan itu kata beliau berkemungkinan disebabkan dilanggar oleh jentera FRT.

Bagaimanapun Mohamad Firdhaus tidak menolak kesan biologi atau sebarang penglibatan  manusia boleh hilang akibat keadaan persekitaran dan cuaca. 

“Kalau ikut science locate principal bila ada pelanggaran mesti ada kesan tapi masa pemeriksaan saya buat tiada bukti biologi. Pada pendapat saya boleh hilang bergantung persekitaran, hujan tapi dalam kes ini di luar pengetahuan saya” tambahnya. 

Terdahulu, beliau mengesahkan pelanggaran kedua-dua jentera tersebut berdasarkan beberapa kerosakan yang konsisten terhadap satu sama lain. 

“Berdasarkan kerosakan, saya buat kesimpulan bahagian belakang kanan jentera bomba dan bahagian hadaoan van bomba konsisten dalam berlanggar.

“Bahagian belakang kiri jentera bomba dan sisi kiri van bomba konsisten telah berlanggar. Sisi kiri hadapan jentera bomba dan sisi kiri van bomba konsisten telah berlanggar,” ujarnya. -MalaysiaGazette