Penasihat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Saudara Islam Malaysia, Shafik Abdullah (dua kiri) berbincang dengan ahlinya mengenai permohonan mereka kepada Ketua Hakim Negara supaya perbicaraaan mahkamah keatas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat secara siaran langsung pada sidang media di Pullman Hotel Bangsar, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan digesa supaya membenarkan perbicaraan bagi kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak disiar secara langsung termasuk menerusi stesen televisyen tempatan.

Penasihat NGO-NGO Saudara Islam Semalaysia, Shafik Abdullah berkata, langkah itu perlu memandangkan individu yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan 1MDB dan SRC International merupakan bekas perdana menteri yang pernah dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya berteraskan demokrasi.

Menurutnya, ia juga bagi mengelak laporan tidak tepat oleh segelintir media khususnya antarabangsa yang turut membuat liputan bagi kes tersebut.

“Pihak kami berpendapat bahawa rakyat Malaysia mempunyai hak dan kepentingan untuk mengikuti perbicaraan tersebut secara langsung dan bukan hanya bergantung kepada laporan oleh pihak media.

“Perbicaraan yang melibatkan Datuk Seri Najib ini juga merupakan kes berkepentingan awam dan ia wajar disiarkan terus sebagaimana berlangsungnya sidang Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media hari ini.

MGF28032019_PC NGO ISLAM03
Penasihat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Saudara Islam Malaysia, Shafik Abdullah bercakap pada sidang media berkaitan permohonan NGO tersebut kepada Ketua Hakim Negara supaya perbicaraaan mahkamah keatas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat secara siaran langsung di Pullman Hotel Bangsar, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2019.

Shafik mendakwa, kebanyakan media tempatan dan luar negara tidak melapor secara jujur perkembangan kes berkenaan hingga ada yang cuba mensensasikan serta membuat spekulasi.

Malah, perbicaraan itu perlu dibuat dalam mahkamah terbuka sesuai dengan konsep keadilan terbuka.

Ujarnya, kes berkenaan mendapat perhatian umum dan ruang kamar mahkamah yang terhad tidak mungkin dapat menampung bilangan orang awam yang ingin mengikuti perbicaraan tersebut secara langsung.

Katanya lagi, bagi tujuan itu, pihaknya telah menghantar satu surat permohonan kepada beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Peguam Negara, Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Pejabat Perdana Menteri dan pejabat Ketua Hakim Negara.

Katanya, surat tersebut yang bertarikh 21 Februari telah dihantar kepada pihak-pihak berkenaan pada 27 Februari namun sehingga kini belum meneriam maklum balas.

Bagaimanapun, ketika surat tersebut dihantar tidak ada sebarang bantahan mahupun penolakan daripada pihak tersebut dan langkah susulan bagi mendapatkan jawapan mengenainya akan dibuat Isnin depan.

Jelasnya, permohonan untuk mengadakan siaran langsung itu juga telah dimaklumkan kepada Najib dan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai sebarang halangan mengenainya.

Jelas beliau, pihaknya kini sedang menunggu jawapan daripada pihak-pihak yang berkenaan dan berharap agar permohonan itu tidak diabaikan.

Sidang media tersebut dihadiri tujuh NGO saudara Islam Semalaysia yang mewakili beberapa NGO Islam yang lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast