Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad .

KUALA LUMPUR- Kerajaan tidak bercadang untuk menjual sebahagian daripada pegangan dalam syarikat Petroliam Nasional (Petronas) bagi mengurangkan beban hutang negara.

Perkara tersebut disahkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu temubual eksklusif dengan Reuters di Langkawi, Kedah hari ini.

“Petronas sentiasa memberikan pulangan yang baik kepada kerajaan.

“Kami tidak mempunyai perancangan untuk menswastakan atau menjual Petronas,” katanya.

Sejak memegang pemerintahan negara selepas memenangi pilihanraya umum Mei lalu, kerajaan Pakatan Harapan mempunyai pelbagai perancangan untuk melupuskan aset-aset tertentu termasuklah Malaysia Airlines.

Ini telah menimbulkan spekulasi yang mendakwa kerajaan juga berhasrat untuk menyenaraikan Petronas ke Bursa Malaysia atau menjual sebahagian pegangannya kepada pihak lain.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, bank pelaburan terkemuka, Goldman Sachs hanya dibenarkan menjalankan perniagaan di Malaysia “Sekiranya mereka membayar jumlah yang kita minta” sambil mengulang semula angka yang diberikan oleh Kementerian Kewangan iaitu AS$7.5 bilion.

“Ini kerana mereka tidak berhemah, mereka sepatutnya melakukan kajian terhadap peminjam dan pemberi pinjaman dengan teliti,” katanya sambil menambah bersedia untuk berunding dengan bank tersebut.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan juga sedang berbincang dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berhubung Goldman Sachs.- MalaysiaGazette