illegal logging Lake Kenyir debris flow landslide Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar Menteri Besar Terengganu MB
Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

SEREMBAN – Jentera PAS dari seluruh negara dikerahkan supaya turun berkempen untuk Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr Ahmad Samsuri Moktar berkata, parti itu akan mengguna peranan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) secara ‘all out’.

“Kerjasama erat antara UMNO dan Pas dan strategi khusus akan membantu Mohamad mampu mempertahankan kerusi tradisinya.

“Saya percaya DHPP juga telah merangka strategi untuk membantu berkempen di sini,” katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, PAS juga telah mengeluarkan arahan mewajibkan semua pengundi PAS di Rantau mengundi calon BN.

Ahmad Samsuri yakin Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mad layak mengekalkan kerusi di DUN Rantau berikutan pelbagai pembangunan yang telah dilakukan demi rakyat Dun Rantau.

Tambah Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu, rakyat Dun Rantau telah menyaksikan sendiri kepimpinan Mohamad dan seharusnya figura ini adalah layak menjadi wakil rakyat di sini.

PAS, katanya akan sentiasa komited membantu kempen secara matang dan sejahtera.

Beliau berharap Pakatan Harapan berkempen dengan sebaik-baiknya mengikut lunas demokrasi.

“Kita harap elakkan budaya fitnah-memfitnah dalam sebarang aktiviti sebagai memberi keharmonian yang lebih baik sepanjang kempen ini berlangsung,” ujarnya. – MalaysiaGazette