Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden BN, Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sendayan, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2019.

PRK RANTAU – Kelibat Presiden UMNO yang sedang bercuti dari tugas, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencuri tumpuan para pengamal media di Pusat Penamaan Calon, di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Seri Sendayan.

“Saya datang untuk memenuhi janji saya kepada Tok Mad bahawasanya akan hadir untuk penaman calon beliau.

“Saya memenuhi janji saya kepada beliau,” katanya ketika ditemui media di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sri Sendayan, hari ini.

Ahmad Zahid antara individu yang mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan sempena penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini.

Ditanya bila beliau akan memegang kembali jawatan Presiden UMNO, katanya, hanya masa akan menentukannya.

“Kembali ke jawatan? Itu terserah kepada Allah,” katanya lagi.

MGF_30032019_PRK RANTAU PENAMAAN_10
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sendayan, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2019.

Untuk rekod, ini kali pertama Ahmad Zahid turun bersama calon BN pada hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil selepas dihadapkan ke mahkamah berhubung isu salah guna kuasa.

Ahmad Zahid dipilih sebagai Presiden UMNO pada Jun tahun lalu menggantikan Datuk Seri Najib Razak.

Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid mengumumkan keputusannya menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan berkuat kuasa serta merta.

Ia ekoran desakan ramai pihak terutamanya akar umbi parti yang mahu beliau bercuti setelah berdepan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah. -MalaysiaGazette