Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismai sambil diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (dua kanan) meletakkan tanda tangan beliau sebagai gimik Pelancaran Food Bank Malaysia peringkat Parlimen Pandan di SK Pandan Mewah, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 31 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kira-kira 45,850 isi rumah telah mendapat manfaat daripada menerusi Program Food Bank Malaysia yang dirintis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sehingga Februari lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, menerusi program itu ia secara tidak langsung telah berjaya menyelamatkan sebanyak 1,055 metrik tan lebihan makanan.

“Dalam melaksanakan inisiatif ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menghubungkan pihak industri yang mana merangkumi bukan sahaja pasaraya malah pengeluar produk makanan, restoran dan hotel dengan rakan strategik Kementerian iaitu Mutiara Food Bank, Food Aid Foundation dan KECHARA Soup Kitchen bagi membantu menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran.

“Program ini bukanlah bersifat ad hoc ataupun one-off tetapi merupakan program yang berterusan untuk memberikan manfaat kepada golongan sasar iaitu miskin dan miskin tegar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Food Bank Malaysia di sini hari ini.

Menurut Wan Azizah, susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 15 Februari lalu, kerajaan telah memutuskan untuk meluaskan Program Food Bank Malaysia yang dikendalikan oleh Kementerian ini ke seluruh institusi pengajian tinggi.

Langkah itu katanya, sebagai menangani kos sara hidup yang dihadapi oleh mahasiswa yang kian meningkat.

Tambah beliau, Program Food Bank di Parlimen Pandan yang diadakan ini akan digerakkan oleh Rakan Strategik Utama iaitu KECHARA Soup Kitchen dan mendapat kerjasama dari Voice of Pandan (Petubuhan Suara Anak Pandan).

Jelasnya, NGO-NGO berkenaan akan mengumpul bahan makanan dari hypermarket dan supermarket yang terlibat dalam program ini dan mengagihkannya sekali seminggu kepada kumpulan sasar kawasan Parlimen Pandan.

Katanya lagi, pada masa ini, jumlah penerima yang didaftar melebihi 200 orang dan antara pasaraya yang terlibat dalam program berkenaan iaitu Tesco, Econsave, The Store, NSK dan SEGI.

“Saya amat berbesar hati kerana mendapat kerjasama yang tidak ternilai daripada pihak yang sama-sama ingin menjayakan program ini.

“Dengan adanya program Food Bank Malaysia ini, kita ingin memastikan tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang kelaparan,” ujarnya. – MalaysiaGazette