Reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismai dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika menyampaikan sayur-sayuran segar kepada penduduk Parlimen Pandan hadir pada Pelancaran Food Bank Malaysia peringkat Parlimen Pandan di SK Pandan Mewah, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 31 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Para penerima Program Food Bank Malaysia (PFBM) menyifatkan bantuan berbentuk bahan masakan yang diterima hari ini sebagai satu pemberian bermakna.

Ini kerana, di tengah-tengah kehidupan kota yang sememangnya amat mencabar, bantuan seperti itu mampu meringankan beban khususnya kepada golongan berpendapatan rendah yang tinggal di bandar.

Rata-rata mereka yang ditemui Malaysia Gazette memberitahu, amat wajar dan bertepatan langkah yang dilakukan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu dalam usaha membantu meringankan beban kos sara hidup.

Seorang penerima, Elma Mohamad, 41, sangat berterima kasih kepada pihak yang memberikan sumbangan seperti itu kerana dengan pemberian tersebut ia dapat menggembirakan mereka yang mempunyai ahli keluarga.

MGF31032019_FOODBANK_06
Elma Mohamad

Katanya, pemberian berbentuk barangan dapur sememangnya amat sesuai lebih-lebih lagi bagi dirinya yang merupakan seorang suri rumah.

“Dengan sumbangan ini dapatlah ringankan perbelanjaan kami sekeluarga. Dapat juga ringankan perbelanjaan dapur suami saya.

“Senang sikitlah bagi kami penerima tidak perlu pergi ke pasar untuk membeli barang masakan kerana segala sumbangan ini sudah lengkap untuk menyediakan masakan,” katanya.

Anrealai Govenraju, 62, pula berasa sangat bertuah dan gembira kerana dipilih untuk menjadi salah seorang daripada penerima dalam program itu.

MGF31032019_FOODBANK_07
Anrealei Govenraju

Ujarnya, dia sememangnya mengharapkan agar ada pihak dapat memberikan bantuan seperti itu kerana pendapatan bulanannya yang tidak mencukupi ekoran hanya bekerja sebagai seorang tukang pemnbersih di Hospital Ampang.

“Program macam ini memang baik untuk rakyat. Lebih sesuai kalau diadakan selalu.

“Saya ini orang susah, gaji pula kecil, kalau dapat barang masak seperti ini sudah tentu ia menjimatkan belanja,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pesara tentera, Abdul Rahman Abu, 64, berkata, program yang seperti itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan mengambil perhatian terhadap kesusahan yang dialami rakyat pada ketika ini.

Katanya, pemberian barangan untuk dimasak seperti itu memang satu inisiatif yang amat baik serta dapat mengelak daripada berlakunya pembaziran dilakukan oleh penyumbang-penyumbang.

“Sekarang ini harga barangan dapur pun dah mahal. Kalau mereka yang ada anak ramai pasti akan mengalami kesulitan.

MGF31032019_FOODBANK_08 (1)
Abdul Rahman Abu

“Terima kasihlah kepada pihak-pihak yang terlibat kerana sangat prihatin dengan masalah semasa khususnya golongan kurang berkemampuan.

“Hanya tuhan sahaja yang dapat membalas jasa baik mereka kerana tangan yang memberi sememangnya lebih baik daripada yang menerima,” katanya.

Hari ini, kira-kira 200 isi rumah di kawasan Parlimen Pandan menerima bantuan program Food Bank Malaysia yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Program tersebut yang dirintis oleh KPDNHEP adalah salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bertujuan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat selain mengurangkan pembaziran.

Sehingga Februari 2019, seramai 45,850 ahli isi rumah telah berjaya mendapat manfaat daripada Program berkenaan.

Menerusi program itu juga ia secara tidak langsung berjaya menyelamatkan sebanyak 1,055 metrik tan lebihan makanan daripada terbuang. – MalaysiaGazette