KUALA LUMPUR – Berlainan sekali daripada nada isterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat ada baiknya jika perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak itu disiarkan secara langsung kepada umum.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa bimbangnya jika siaran langsung perbicaraan kes yang dijadual lusa menjadikannya riuh dan kacau seperti ‘sarkas’.

Anwar yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula merasakan dengan siaran langsung itu rakyat dapat mengetahui jumlah wang negara yang telah dirompak.

Namun Ahli Parlimen Port Dickson juga menyerahkan bulat-bulat kepada mahkamah sahaja untuk membuat keputusan muktmad.

“Perkara ini saya serah kepada mahkamah sama ada disiarkan secara langsung ataupun tidak. Selama ini tidak pernah berlaku.

“Ada baik supaya rakyat tahu berapa banyak wang di negara ini dirompak,” katanya lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, ada pihak termasuk NGO serta Najib sendiri mahu perbicaraan disiarkan secara langsung sehingga ada dalam kalangan warganet melakukan petisyen berkaitan perkara itu di change.org.

Najib sendiri secara terbuka menyatakan siaran itu akan membantu perbicaraannya berjalan dengan telus dan mematuhi kedaulatan undang-undang.

Najib kini berdepan sebanyak 42 tuduhan jenayah. Daripada jumlah itu, 10 tuduhan berhubung SRC International, bekas syarikat subsidiari 1MDB.

Tuduhan itu termasuklah tiga dakwaan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta, pecah amanah, dan penyalahgunaan kuasa. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/31/terkini-siar-perbicaraan-najib-secara-langsung-seperti-persembahan-sarkas-wan-azizah/