Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Jumaat telah membuat keputusan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori, tetapi mengekalkan hukuman mati.

Keadaan itu bermakna, hakim boleh memilih untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman lain mengikut budi bicara mereka.

Ia sekali gus mengubah keadaan sedia ada untuk kesalahan tertentu yang mana satu-satu hukuman yang ada ialah hukuman mati mandatori jika tertuduh didapati bersalah.

Sinchew Daily melaporkan, seorang sumber telah mengesahkan keputusan itu dan memaklumkan bahawa beberapa undang-undang perlu dipinda untuk menghapuskan hukuman mati mandatori.

Difahamkan, pada masa ini terdapat 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori.

Isu penghapusan hukuman mati telah mencetuskan perdebatan hangat terutamanya terdapat ahli keluarga mangsa termasuk mereka yang kehilangan orang kesayangan dalam kes bunuh membantah cadangan kerajaan memansuhkan hukuman mati.

Pada awal bulan ini, kerajaan dilaporkan mempertimbangkan tiga pilihan iaitu: penghapusan hukuman mati secara menyeluruh, penghapusan hukuman mati mandatori, dan penghapusan hukuman mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: