Hasil temu bual dengan bomba bertugas, terdapat dua pintu di rumah tersebut. Pintu hadapan rumah berkunci dari dalam manakala pintu tepi berkunci dengan mangga dari luar.

LANGKAWI – Polis telah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca kematian tiga sekeluarga dalam kebakaran di sebuah rumah di Pangkalan Jeti Nelayan Sungai Tepi, dekat Bukit Malut di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata setakat ini kertas siasatan itu adalah di bawah kes mati mengejut (SDR).

“Hasil temu bual dengan bomba bertugas, terdapat dua pintu di rumah tersebut. Pintu hadapan rumah berkunci dari dalam manakala pintu tepi berkunci dengan mangga dari luar.

Api dikatakan bermula dari bahagian belakang rumah dan semasa bomba tiba di tempat kejadian rumah telah terbakar lebih kurang 80 peratus,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pagi tadi, Mohd Nahar Suhaimi, 39, ditemukan rentung 100 peratus di ruang tamu manakala isteri Nor Suhaila Ahmad, 41, serta anak lelakinya Mohd Naufal, enam tahun ditemui di bahagian bilik air rumah tersebut.

Mohd Iqbal berkata bahagian forensik dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Setar telah dipanggil untuk menjalankan siasatan bagi menentukan punca kebakaran.

“Anggota polis D10 Forensik Ibu pejabat Kontinjen Kedah juga dipanggil membantu siasatan. Setakat ini kertas siasatan dibuka di bawah SDR sehingga ada arahan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Mohd Iqbal berkata identiti tiga sekeluarga itu telah disahkan oleh Nursyafinas Mohd Nahar, anak kedua kepada pasangan tersebut.

“Ketiga-tiga mangsa akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses post mortem yang akan dijalankan esok,” katanya.

— BERNAMA