Menteri Wilayah Persekutuan, YB Khalid Abdul Samad (tengah) bergambar kenangan bersama penerima-penerima anugerah pada Majlis Anugerah Buku Negara 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 01 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Cetakan buku-buku oleh penerbit sejak tiga tahun kebelakangan ini menurun hingga merencatkan hasrat kerajaan mencapai sekurang-kurangnya 30,000 judul buku baharu setahun.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, perkara itu berlaku mungkin disebabkan orang ramai kini lebih berminat untuk menggunakan telefon pintar daripada membaca buku atau novel.

Menurutnya, ia merupakan masalah yang dihadapi di seluruh dunia tetapi mungkin ia hanya bersifat sementara.

“Ini adalah masalah yang saya rasa dihadapi seluruh dunia tetapi kita yakin bahawa ianya merupakan satu keadaan yang sementara kerana akhirnya walau apa sekalipun usaha karyawan itu tetap akan terhasil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepaskan melancarkan Anugerah Buku Negara 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini petang tadi.

Pada majlis itu, sebanyak 80 anugerah disampaikan kepada penerima yang meliputi pelbagai kategori bagi mengiktiraf usaha yang dijalanan oleh warga industri penerbitan buku di negara ini.

Terdahulu, dalam ucapannya ketika merasmikan pesta buku berkenaan Khalid menyarankan agar penerbit-penerbit buku menerbitkan tiga judul buku baharu setiap hari sebagai langkah untuk melayakkan Malaysia diberi taraf sebagai negara maju.

Ia bersamaan tidak kurang daripada 1,000 judul buku baharu setahun bagi setiap bilangan sejuta penduduk, katanya.

“Ini bermakna dalam konteks populasi rakyat Malaysia yang akan mencecah jumlah 30 juta orang, negara haruslah menerbitkan sekurang-kurangnya 30,000 judul buku baharu setahun.

“Kerajaan amat komited terhadap kemajuan industri buku dan penulisan. Ini jelas dalam matlamat ke-4 Dasar Buku Negara yang mahukan setiap buku yang diterbitkan mestilah mencapai mutu yang baik dari segi isi kandungan mahupun rekabentuk kulit buku,” kata Khalid.

Dalam usaha menjayakan perkara itu Khalid memberitahu, kerajaan melalui beberapa kementerian khususnya kementeriannya akan berganding rapat dalam membantu Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan memberikan sokongan moral dan kewangan agar terus melangkah dengan yakin dan gagah ke arah bandaraya Kuala Lumpur mencapai taraf ibu kota buku dunia pada tahun hadapan. – MalaysiaGazette