Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Aliran masuk pelaburan asing di Bursa Malaysia bersifat sementara selepas dana-dana antabangsa kembali dalam mod jualan.

Berdasarkan data daripada bursa, dana-dana asing menjual sebanyak RM162.1 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu, kedua terendah dalam aliran keluar asing setakat tahun ini.

Pelabur asing menjual RM34.8 juta pada hari Isnin, kebetulan dengan penurunan FBMKLCI sebanyak 1.1 peratus ketika para pelabur memindahkan aset-aset kerana bimbang kemelesetan Amerika Syarikat.

Taiwan dan Korea Selatan merekodkan aliran keluar melebihi AS$90 juta.

MIDF Research berkata, dana-dana antarabangsa secara perlahan-lahan memasuki bursa dengan aliran RM23.9 juta pada hari Selasa, tertinggi dalam enam hari dagangan.

Menurutnya, pembelian bersih asing juga berleluasa di enam pasaran Asia yang lain berikutan kemungkinan bank-bank pusat menurunkan kadar faedah bagi mengurangkan impak kelembapan pertumbuhan ekonomi global.

Firma penyelidikan berkata, hari Rabu dan Khamis menyaksikan pelabur-pelabur asing kembali kepada mod penjualan dengan melupuskan lebih daripada RM60 juta.

Ia disumbangkan penurunan keuntungan industri-industri utama China sebanyak 14 peratus tahun ke tahun pada bulan Januari dan Februari tahun ini, sekali gus memberi isyarat pertumbuhan lembap ekonomi negara tersebut.

Tahap jualan bersih asing menurun kepada RM15.6 bilion pada hari Jumaat apabila pusingan terbaru perbincangan perdagangan Amerika Syarikat dan China disambung semula.

Untuk bulan Mac, pelabur asing telah membawa keluar sebanyak RM1.56 bilion dari bursa, menjadikan jumlah yang dilupuskan pada suku pertama tahun ini sebanyak RM1.35 bilion.

Sebagai perbandingan, bursa menerima aliran masuk sebanyak RM2.2 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Di antara empat pasaran ASEAN yang dipantau, MIDF Research berkata, Malaysia masih menjadi negara kedua terbesar dalam aliran keluar pelabur asing selepas Thailand dengan jumlah AS$407.3 juta atau RM1.6 bilion pada suku tahun ini. – MalaysiaGazette