PRK RANTAU- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Hasan yang mendakwa pihaknya sengaja melewatkan hari penamaan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Menurut pengerusinya, Azhar Azizan Harun, tuduhan SPR cuba mengurangkan momentum kemenangan BN di PRK Cameron Highlands dan Semenyih juga tidak berasas.
Segala ketetapan yang diambil oleh SPR, katanya, termaktub kepada peruntukan undang-undang yang telah dipenuhi oleh badan itu.
“Sebagai sebuah Institusi Perlembagaan yang mana ahli-ahlinya telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, SPR sentiasa menunaikan tanggungjawab dan amanahnya dengan profesional serta tidak menyebelahi mana-mana pihak di dalam mana-mana pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azhar berkata, SPR telah mengambil kira semua jangkamasa yang ditetapkan oleh perundangan dan telah membuat Mesyuarat Khas pada 6 Mac 2019 bagi menetapkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya tersebut.
“Tarikh-tarikh penting bagi PRK DUN N.27 Rantau ditetapkan mengikut kesesuaian setelah mengambil kira semua faktor yang berkenaan.
“SPR ingin memberi jaminan bahawa semua tindakan SPR tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik ataupun kecenderungan fahaman politik,” katanya lagi. -MalaysiaGazette