Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbual dengan calon PH, Dr. S. Streram ketika hadir pada ceramah bersama masyarakat India sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Taman Sri Ramai, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2019

PRK RANTAU – Kempen hari keempat Pakatan Harapan (PH) di Taman Sri Ramai dimeriahkan dengan jamuan makan untuk  pengundi di sekitar kawasan ini.

Nasi lemak antara hidangan yang disediakan untuk pengundi, manakala capati pula dihidangkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson yang pertama kali turun dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ketika ditemui media berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai jamuan tersebut.

Malah katanya pihak media harus melemparkan soalan itu kepada pengajur program ini.

“Ini program bawah kelolaan NGO, mereka jemput dan kena tanya mereka mengapa buat jamuan.

“Calon pun hadir? (Tanya wartawan) Itu kena tanya NGO itu, saya datang atas jemputan,” katanya selepas selesai menyampaikan ceramahnya di Taman Sri Ramai, Rantau sebentar tadi.

MGF02042019_KEMPEN CALON PH_10
Antara juadah   yang dihidang pada Ceramah Bersama Masyarakat India sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Taman Sri Ramai, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2019

Menurut salah seorang penduduk yang enggan dinamakan, program jamuan dan makan malam ini dianjurkan sendiri oleh penduduk sekitar Taman Sri Ramai.

“Penduduk datang jauh, takkanlah kita tak bagi makan. Mereka bukan datang saja-saja.

“Program ini dikelolakan oleh penduduk kampung,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam siri ceramah itu turut diiringi calon PH, Dr S Streram dan Ahli Parlimen Selayang, William Young.

MGF02042019_KEMPEN CALON PH_02
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan  penduduk dan pengundi rantau ketika hadir pada Ceramah Bersama Masyarakat India sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Taman Sri Ramai, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2019

MalaysiaGazette turut bertanyakan kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kebetulan ada di ceramah itu.

Ujarnya, PH sememangnya melakukan kesalahan mengadakan jamuan kerana turut melibatkan kehadiran calon PRK.

“Ikut peraturan SPR, memang salah tambahan lagi ada kehadiran calon PH,” kata pegawai SPR itu.

Untuk rekod, kesalahan itu termaktub dalam Bahagian 3, Kesalahan Rasuah dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast