Datuk Seri Najib Razak.
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak sedang mengumpulkan bukti agar jumlah tuntutan bayaran cukai yang oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya boleh dipertimbangkan semula.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, ini kerana cara pengiraan cukai yang dikenakan terhadapnya iaitu sebanyak RM1.5 bilion menimbulkan tanda tanya.

“Kita akan minta kaji dan kita akan cari cara spesifik mengikut proses sebab pengiraan asas, definisi pendapatan yang dikira juga sangat menimbulkan tanda tanya.

“Ianya sedang disediakan kami fikir ia tidak adil kami akan cari macam mana yang boleh dibuat mengikut proses,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau dalam masa yang sama akan mengemukakan bukti bahawa RM2.6 bilion adalah dana derma yang diperolehinya.

“Sudah tentu (akan kemuka bukti dana) semua akan dibuat berdasarkan fakta,” katanya lagi.

Terdahulu Najib berkata, beliau tidak pernah mengelak daripada tanggungjawab membayar cukai individu pada setiap tahun sebaliknya memberitahu, propaganda yang dicetuskan oleh Pakatan Harapan (PH) hari ini adalah ‘Penalti cukai baharu’ yang tiba-tiba dikenakan ke atas dirinya.

Semalam LHDN meminta Najib agar membayar cukai sebanyak RM1.5 bilion melalui surat yang dihantar kepadanya kira-kira seminggu lalu.

The Edge Markets melaporkan bahawa bil untuk tempoh 2011-2017 itu merupakan jumlah lain daripada cukai pendapatan yang sudah dibayar Ahli Parlimen Pekan itu selama tujuh tahun.

Menurut sumber, siasatan LHDN mendapati Najib belum mengisytiharkan pendapatan kira-kira RM4 bilion dalam tempoh itu, termasuk RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya sebelum ini yang didakwa berpunca daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – MalaysiaGazette