Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah
Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah

KUALA LUMPUR – Ramai pihak bersetuju perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak diadakan secara langsung, termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Pertubuhan terbesar orang Melayu itu berpendapat, rakyat di seluruh negara berhak mengetahui apa yang berlaku dalam prosiding perbicaraan bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Timbalan Pengerusi Biro Integriti dan Anti Rasuah Perkasa, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah, kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd boleh diklasifikasikan berprofil tinggi serta penuh kontroversi.

“Perkasa menyokong dan bersetuju cadangan itu atas dasar rakyat berhak mengikuti perbicaraan secara terbuka.

“Lagipun, kes ini membawa kepentingan rakyat dalam membuktikan skandal rasuah dan penggubahan wang rakyat yang telah sekian lama digempar gemburkan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan perkara yang sama, tidak ada masalah untuk stesen televisyen mengadakan siaran langsung kes perbicaraan Najib, tetapi terpulang pada budi bicara mahkamah.

Namun semalam, Ketua Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan menyatakan, perbicaraan di mahkamah tidak boleh disiarkan secara langsung atau dirakamkan oleh mana-mana media.

“Tiada perbicaraan di mana-mana mahkamah dibenarkan disiarkan secara langsung melalui mana-mana media atau dibenarkan untuk dirakamkan,” kata kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Menurut Syed Mohd Shahriman, kes itu dijadikan modal politik pihak tertentu sebelum PRU 14 lagi dan rakyat ingin melihat sekiranya ada unsur politik dalam perbicaraan berkenaan yang boleh mengancam sifat integriti keputusan kehakiman yang akan diambil ke atas kes itu.

Perkasa juga katanya, tidak semua rakyat dari seluruh negara mampu hadir ke mahkamah, apatah lagi galerinya kecil serta terhad untuk menampung bilangan kehadiran orang ramai.

“Maka inisiatif siaran langsung pasti akan membantu rakyat untuk mengikuti perkembangan semasa perbicaraan kes ini secara terus, tanpa perlu bergantung kepada media sahaja.

“Perkasa yakin tidak akan timbul sebarang masalah yang boleh mengganggu prosiding mahkamah melalui siaran langsung ini. Yang penting proses perbicaraan dijalankan secara telus dan rakyat dapat menilai sendiri proses kehakiman yang berlangsung,” katanya.

Justeru, Perkasa sekali lagi menyokong dan bersetuju agar perbicaraan itu disiarkan secara langsung ke seluruh negara, bak kata pepatah, berani kerana benar, takut kerana salah. – MalaysiaGazette