Beginilah keadaan trafik di hadapan Stesen Komuter Serdang selepas dinaiki air ekoran hujan lebat lebih dua jam di ibu negara petang tadi.

KUALA LUMPUR – Hujan lebat dan ribut petir selama lebih dua jam tanpa henti di ibu negara petang tadi menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Antara kawasan yang mengalami banjir kilat ialah Stesen Komuter Serdang.

Air yang naik sehingga menenggelamkan jalan raya menyebabkan lebuh raya Besraya itu sesak teruk.

Para pengguna lebuh raya Besraya yang melalui kawasan itu terkandas hingga ada terpaksa menghentikan kenderaan masing-masing apabila jalan di situ dilihat seperti sungai.

Pengguna laluan berkenaan yang datang dari arah Serdang menuju ke Balakong dan ibu negara terpaksa berhenti di tengah-tengah lebuh raya ekoran tidak mahu mengambil risiko meredah banjir.

Manakala, pengguna dari arah tol The Mines ke Bangi terpaksa menggunakan satu lorong setelah sebahagian jalan ditenggelami air.

Akibatnya, laluan itu sesak sepanjang lebih tiga kilometer dengan kenderaan dari kedua-dua hala hingga menyebabkan ada pengguna yang tersangkut lebih daripada satu jam.

Ada juga kenderaan yang terkandas kerana mengalami rosak selepas meredah banjir yang tidak diketahui kedalamannya.

Sementara itu, laman Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan keadaan trafik sesak di di kawasan tersebut dan meminta orang ramai supaya merancang perjalanan masing-masing.

Beberapa keping gambar turut dimuat naik di laman sosial berkenaan bagi menunjukkan kepada orang ramai situasi yang berlaku di kawasan terbabit. – MalaysiaGazette