Abdul Manaf Abdul Aziz menerima surat tawaran daripada wakil Kementerian Pendidikan dan UIAM.

PEKAN – Impian seorang pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang perubatan akhirnya tercapai apabila menerima surat tawaran untuk meneruskan pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).

Abdul Manaf Abdul Aziz, pelajar dari Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah (SHAH) cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2018 dengan memperoleh 10A.

Remaja itu akan meneruskan pengajian beliau ke peringkat Asasi di Pusat Asasi UIAM Kampus Gambang selama setahun dan kemudian akan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda selama lima tahun.

Beliau menerima surat tawaran tersebut daripada wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan UIAM yang hadir ke kediaman beliau di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Temai, dekat sini.

Abdul Manaf, 18, anak ketiga dari lima orang adik beradik ketika ditemui beliau berasa amat bersyukur dan terharu kerana dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan seperti yang diimpikan.

WhatsApp Image 2019-04-03 at 12.12.27
Abdul Manaf Abdul Aziz menunjukkan surat tawaran yang diterima dari UIAM.

“Saya berasa amat syukur dan terharu dalam masa yang sama amat gembira kerana impian saya untuk menjadi seorang doktor akan tercapai apabila dapat melanjutkan pelajar dalam bidang perubatan lebih-lebih lagi di UIAM.

“Saya juga amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu saya dan keluarga saya terutamanya kepada Menteri Dr. Maszle Malik, Kementerian Pendidikan, UIAM dan para cikgu. Saya tidak dapat membalas jasa baik yang dicurahkan,” ujarnya.

Berita berkaitan Abdul Manaf tular dalam media dan mendapat respons pelbagai pihak termasuk Menteri Pendidikan Malaysia.

Abdul Manaf bercita-cita mahu menjadi seorang doktor dan pakar dalam bidang Neurosurgeon.

“Saya mahu membantu masyarakat yang memerlukan dengan memberikan bantuan perkhidmatan perubatan jika saya menjadi doktor kelak,” katanya,

Bagaimanapun, Abdul Manaf perlu menunggu keputusan rasmi daripada UPU Kementerian Pendidikan kerana sistem kemasukan ke semua Universiti Awam perlu melalui sistem tersebut.

Abdul Manaf akan diberikan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi menggunakan laluan khas untuk golongan B40. – MalaysiaGazette