Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Dalam Negeri merangkap Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (duduk dua kiri) dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (duduk dua kanan) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Pejabat PPBM, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 APRIL 2019

PETALING JAYA – Ada pihak yang mengambil kesempatan dalam usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masuk ke Sabah.

Bagaimanapun, pengerusi parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad enggan menamakan pihak berkenaan.

“Kita (Bersatu) akan pergi Sabah bukan takda masalah, ada masalah (kerana) ada orang-orang tertentu ambil kesempatan dengan pelancaran di sana.

“Namun demikian ingin dijelaskan apabila pergi ke Sabah tujuan Bersatu bukan hendak menjatuhkan kerajaan sedia ada sebaliknya sokong sepenunya kerajaan Warisan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu petang tadi.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, cubaan pihak tertentu itu mungkin tidak bersetuju dan mempengaruhi Warisan kononnya akan diperalatkan Bersatu.

“Orang macam ini tak payah masuk ahli Bersatu, Bersatu sokong kerajaan Warisan dan kita beri pengakuan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, partinya juga belum memutuskan siapa mengetuai Bersatu di Sabah dan akan diputuskan apabila mereka ke sana pada 6 April ini.