Lew Keng Joe
Lew Keng Joe

SHAH ALAM – Saksi ke-28 inkues kematian anggota bomba hari ini mencadangkan agar Mahkamah Koroner memanggil Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebagai saksi pada prosiding itu.

Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Lew Keng Joe mencadangkan demikian ketika  menjawab soalan mengapa KPN mengeluarkan kenyataan bahawa allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dipukul.

Soalan tersebut diajukan peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Ahmad Taufik Baharum.

“Awak mahu saya rakamkan kenyataan IGP (Ketua Polis Negara)? Mungkin awak patut sepina IGP dan tanya beliau,” katanya.

Lew yang memaklumkan mengetahuinya menerusi kenyataan rasmi dan dalam masa yang sama menganggapnya sebagai tidak membantu siasatan kematian Muhammad Adib.

“Memang ada saya tak pasti sama ada 27/28 November 2018 dan saya tak tanya dia tapi saya tahu melalui kenyataan rasmi. Saya tidak pasti mengapa IGP keluarkan kenyataan itu.

“Saya rasa penting kenyataan (itu) tapi saya rasa kenyataan tak bantu siasatan, saya mungkin dia ada jumpa bomba tanya,” kata Lew lagi.

Untuk rekod pada 29 November yang lalu, Mohamad Fuzi menegaskan dakwaan bahawa Muhammad Adib dilanggar jentera bomba dan bukannya dipukul dalam insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di Putra Heights, Subang Jaya, adalah tidak benar.

Beliau berkata, maklumat yang diperoleh tidak mendapati Muhammad Adib, 25, dilanggar seperti yang tular di media sosial. – MalaysiaGazette