Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien bercakap pada sidang media selepas sesi walkabout bagi membantu calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kuala Sawah, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 04 APRIL 2019.

PRK RANTAU – Ahli-ahli UMNO tidak perlu mendesak agar presiden yang sedang bercuti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk segera menggalas tugasnya memimpin semula parti itu.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, desakan sebegitu hanya akan mengeruhkan keadaan dan situasi politik dalaman parti.

Ujar beliau, usaha ke arah itu juga akan merencatkan pemulihan yang sedang dibuat oleh UMNO.

“Biar pucuk pimpinan yang putuskan, kita ada Majlis Tertinggi (MT) dan paling penting sekarang bila kita tengok momentum UMNO dan BN sejak (kemenangan) Cameron Highlands, Semenyih dan sekarang Rantau.

“Polemik politik sebegini rupa takkan membantu,” katanya kepada media selepas selesai walkabout di Kuala Sawah, Rantau hari ini.

Ujarnya kesemua ahli parti seharusnya bersatu tenaga dan jiwa dalam memastikan parti itu bangkit semula pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kelak.

“Kalau kita hanya memikirkan kepada cantas mencantas sesama kita tiada bezanya dengan apa yang saya sebut berhubung kait dengan Pakatan Harapan.

“Cukup-cukuplah rakyat sudah muak dengan politik dan masanya sudah sampai untuk kita tengok kehadapan dan untuk negara kita,” katanya lagi. -MalaysiaGazette