bomba
Pegawai Bomba Kanan II, Muhamad Baddri Ahmad (kanan) mengatakan sesuatu kepada anggotanya yang sedang membuat pemeriksaan kelengkapan jentera mereka di Balai Bomba Rantau, Negeri Sembilan.foto HAZROL ZAINAL, 04 APRIL 2019.

RANTAU – Di sebalik dakwaan tiada balai bomba di Rantau, rupa-rupanya balai bomba Rantau sudah mula menabur bakti mereka seawal pertengahan Mac lagi.

Terletak diantara Jalan Besar Rantau-Linggi, bangunan ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden bagi tujuan khidmat pencegahan dan pemadaman kebakaran.

Menurut Pengawai Bomba Kanan II, Muhamad Baddri Ahmad, balai bomba ini mempunyai kekuatan seramai 16 orang anggota dan pasukan bantuan seramai 15 orang anggota serta seorang ketua balai.

MGF04042019_TEMUBUAL BOMBA04
Temubual bersama Pegawai Bomba Kanan II, Muhamad Baddri Ahmad di Balai Bomba Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 04 APRIL 2019.

“Kita sudah mula beroperasi. Setakat ini ada 3 kes yang dapat kita selesaikan di mana bantuan (padam) api hutan di Telok Kemang,

“Kedua kes menangkap ular dan pancaran api elektrik di Pekan Rantau sepanjang balai bomba ini beroperasi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

MGF03042019_KEMPEN CALOH PH_03
Anggota bomba memadamkan api pada tiang elektrik yang terbakar akibat litar pintas di hadapan Pasar Pekan Rantau, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 03 APRIL 2019

Mengulas lanjut, Baddri berkata dengan adanya balai bomba ini, ianya dapat memberikan harapan kepada mangsa sekiranya berlaku kebakaran.

Katanya lagi, jarak yang jauh antara Rantau dengan kawasan bandar sekitar, mendesak keperluan untuk balai bomba ini beroperasi.

“Pandangan (harus ada balai bomba di Rantau) penduduk itu betul. Sebab jarak antara Rantau dengan Seremban ialah 25 kilometer.

“Api yang terbakar ini empat minit sudah hangus, inikan lagi 25 kilometer jauhnya.

“Masyarakat disini alhamdulillah mereka suka kerana wujudnya balai bomba di Rantau. Tapi dari segi komen negatif tu kita tidak ambil kisah sangat, kita berkhidmat untuk masyarakat,” katanya lagi.

Sebelum ini tular rakaman video calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram mendakwa tiada Balai Bomba dan Penyelamat di Rantau.

Namun Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau berkata, rakaman video kenyataan beliau itu dibuat sebelum PRU14.

“Pada 25 Mac 2018 ada kebakaran rumah di Taman Bunga Sejati. Saya lawat rumah itu dan mendapati ada rumah tebakar sepenuhnya,” jawab Dr Streram. -MalaysiaGazette