Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar menyertai semula Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC( selepas usul pelantikan Ahli Parlimen Pembangkang sebagai pengerusi baharu jawatankuasa itu dimaklumkan hari ini.

“Saya setuju untuk menyertai semula PAC selepas berbincang dengan Ketua Whip dan mendapat kelulusan Speaker,” katanya di luar Dewan Rakyat hari ini.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mengosongkan jawatan ahli jawatankuasa PAC bulan lalu selepas tidak bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri mengekalkan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai pengerusi.

Ronald dilantik sebagai Pengerusi PAC semasa beliau belum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dalam manifesto Pakatan Harapan, jawatan itu diserahkan kepada pembangkang.

Penggantian Ronald akan dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu usul di sidang Dewan Rakyat minggu depan.

Usul itu berada di tempat kesembilan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Dalam Aturan Urusan Mesyuarat itu memaklumkan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) akan dilantik menggantikan Ronald. – MalaysiaGazette