Streram
Calon PH, Dr. S. Streram (dua kanan) beramah mesra dengan sebahagian penduduk yang hadir pada Ceramah Umum PH sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Pasir Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 03 APRIL 2019.

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) untuk Piilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau memilih untuk mendekati pengundi secara santai dengan bertanya masalah mereka.

Dr. S. Streram berkata, beliau lebih selesa dengan cara itu berbanding berucap di atas pentas.

“Saya lebih selesa duduk bersantai dekat dengan pengundi dan mendengar permasalahan dan soalan berbangkit daripada pengundi secara kecil kecilan sebegini.

“Apabila berhujah dan berucap di pentas di hadapan pengundi yang duduk di hadapan, bersalam dengan mereka dan beredar, saya tak dapat aura dan perasaan silaturrahim itu ketika duduk bersama mereka secara tidak formal,” katanya ketika bertemu pengundi di Kampung Pasir, Kuala Sawah Rantau malam tadi.

Tambah Streram, beliau telah beberapa kali berjumpa pengundi di kawasan itu dan gembira apabila berpeluang kembali berkempen bertemu mereka.

Justeru katanya, selepas ini beliau mungkin akan cuba menggunakan pendekatan itu untuk mendengar masalah mereka.

“Ini sangat selesa dan saya lebih berpeluang mendegar sendiri isu mereka secara dekat di hati,” ujarnya. – MalaysiaGazette