Streram
Calon PH, Dr. S. Streram (kanan) ketika bergotong-royong bersama penduduk kampung sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Majis Kampung Siliau, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 04 APRIL 2019

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) tidak risau sekiranya pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang menetap dan bekerja di luar kawasan berhasrat tidak balik mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 14 April ini.

Dr. S. Streram berkata, ini kerana pasukan khas PH telah diwujudkan dan diberi tangunggjawab untuk memastikan kesemua pengundi berdaftar Rantau yang kini bermastautin di Lembah Klang, Johor dan Singapura untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau menjangkakan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 20,926 pengundi di luar kawasan DUN itu akan pulang bagi menunaikan kewajipan masing-masing pada hari tersebut.

“Kita sudah ada strategi terbaik untuk mendekati dan memujuk pengundi Rantau yang berada di luar kawasan supaya balik sebagai langkah meningkatkan peratusan keluar undi yang dianggap sangat penting untuk kemenangan saya dan PH.

“Pasukan khas jentera PRK PH akan mengambil beberapa pendekatan holistik antaranya menghubungi mereka satu persatu dan menerangkan sebab kenapa mereka perlu balik menunaikan tanggungjawab pada kali ini.

“Saya sudah ada senarai dan statistik bilangan pengundi berdaftar anak Rantau yang ada di luar kawasan ketika ini dan kita akan menggerakkan kempen berdasarkan data lengkap yang dimiliki sekarang, tak perlu bimbanglah bagaimana hendak pujuk pengundi luar untuk undi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada program gotong-royong bersama penghuni penjara Negeri Sembilan dan masyarakat setempat di Masjid Kampung Siliau, Rantau hari ini.

Mengulas lanjut, Streram berkata, usaha itu telah dimulakan sejak dua minggu lalu namun pihaknya tidak boleh membantu pengundi daripada aspek kemudahan pengangkutan kerana ia adalah kesalahan pilihan raya.

Menuurut pakar bius itu, setiap pengundi Rantau di perantauan sedar kepentingan balik mengundi untuk menentukan wakil rakyat mereka dan memberi mandat kepada parti memerintah untuk merancakkan pembangunan DUN itu. – MalaysiaGazette