Lembaga Tabung Haji TH deposits
Lembaga Tabung Haji (TH) terus mencatatkan rekod tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat Mei 2022.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji akan mengumumkan pengagihan hibah bagi Tahun Kewangan 2018 esok.

Surat jemputan media sudah pun dikeluarkan sebentar tadi.

Pengumuman hibah yang ditunggu-tunggu oleh 9.3 juta pendeposit Tabung Haji bagi tahun 2018 itu akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof.

Ia akan dilakukan di Kompleks Islam, Putrajaya pada pukul 3 petang.

Pengumuman Tabung Haji memang ditunggu-tunggu memandangkan tarikhnya yang telah melepasi kebiasaan.

Setiap tahun, Tabung Haji mengumumkan pengagihan hibah pada  setiap bulan Mac.

Meskipun terlewat, Datuk Seri Zukri Samat, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji mengotakan ikrarnya untuk membayar hibah kepada pendeposit.

Sebelum ini, Zukri berkata, pembayaran itu dapat dilaksanakan setelah lembaran imbangannya dipulihkan, terutamanya dengan pindahan 106 ekuiti domestik tersenarai yang kurang menguntungkan ke syarikat tujuan khas, Urusharta Jamaah Sdn Bhd.

Namun, katanya, jumlah hibah akan bergantung prestasi kewangan kami berdasarkan kepada keuntungan yang kami boleh jana bagi 2018.

Pada 2017, TH mengisytiharkan pembayaran hibah 4.50 peratus dan bonus 1.75 peratus kepada pendeposit.

Minggu lepas, Mujahid memberitahu, Tabung Haji kini mempunyai lebihan RM1 bilion selepas menukar aset-aset bukan teras dengan syarikat bertujuan khas(SPV) di bawah Kementerian Kewangan dalam pertukaran bagi dua instrumen kewangan.

SPV yang dipanggil Urusharta Jemaah Sdn. Bhd. telah mengambil alih aset-aset Tabung Haji yang tidak menunjukkan prestasi baik bernilai RM10 bilion untuk diterbitkan sebagai sukuk dan Saham Keutamaan Boleh Ubah Boleh Tebus Islam (RCPS-i).

Langkah itu dibuat bagi membantu Tabung Haji memadankan aset-asetnya dengan liabiliti supaya ia dapat membayar hibah kepada 9.7 juta pendepositnya.

Pada 18 Mac lalu, Mujahid memberitahu, aset Tabung Haji kini meningkat kepada RM76.5 bilion dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember berbanding liabiliti RM75.5 bilion.

Angka itu berbanding aset sebanyak RM70.3 bilion yang direkodkan pada tahun kewangan berakhir 2017 berbanding RM74.4 bilion liabiliti.

Kedudukan kewangan itu menunjukkan Tabung Haji mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion. – MalaysiaGazette