Mohamad Hasan
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada ceramah mesra bersama calon sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Felda Sendayan, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 03 APRIL 2019

RANTAU – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau mungkin akan bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Malah beliau turut memberikan bayangan akan turut mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau biarpun niatnya untuk bertanding di peringkat nasional tercapai.

“Rasa-rasanya PRU-15 saya tidak akan lagi bertanding di Rantau, saya akan bertanding di Parlimen pulak kan.

“Tapi bertanding di Rantau, Parlimen pun bertanding juga kan, takkan sudah dapat ‘girlfriend’ baharu, orang tua kita tinggalkan,” katanya sewaktu berucap dalam ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sendayan, malam tadi.

Ditanya lanjut oleh wartawan, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bagaimanapun enggan mengulas dan hanya tersenyum.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga merupakan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau pada 13 April nanti turut berkata beliau sudah mempunyai formula pembahagian kerusi dengan Pas.

Bagi PRU15, kalau kita pakat sama-sama. Formula satu untuk Pas, satu untuk BN, satu untuk Pas, dua untuk BN.

“Tak ada masalah. Tak ada simpul yang kita tak boleh leraikan. Kalau niat kita ikhlas tak ada masalah. Kita ikut formula P. Ramlee,” katanya lagi. -MalaysiaGazette