Azzuddin Ahmad
Azzuddin Ahmad

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Azzuddin Ahmad disahkan telah menamatkan khidmatnya selaku Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang ketiga pada Kongres AFF ke-29 di Siem Reap, Kemboja, bulan lalu.

AFF dalam satu kenyataan berkata, bekas anggota tentera itu berkhidmat dengan badan induk bola sepak ASEAN itu selama tujuh tahun, selepas mengambil alih jawatan berkenaan daripada Datuk Seri Paul Mony Samuel pada 2013.

“Tempoh khidmat saya bersama AFF adalah pengalaman yang hebat. Saya akan sentiasa mengingati kenangan manis bersama AFF. Pada masa ini, AFF berada dalam kedudukan lebih baik, terima kasih atas sumbangan pelbagai pihak.

“Saya mampu berkhidmat dalam memantapkan AFF dengan bimbingan Majlis AFF, selaras dengan matlamat Persekutuan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis AFF dan juga pihak Sekretariat atas sokongan mereka dan menjadikan saya sebahagian daripada organisasi yang menarik ini,” kata Azzuddin.

AFF dijangka membuat pengumuman mengenai pelantikan setiausaha agung baharu badan induk itu tidak lama lagi. – MalaysiaGazette