Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mengibarkan bendera Jalur Gemilang ditemani isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (tiga kanan), Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali (dua kanan), Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) dan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (kanan) pada Sambutan 20 Tahun Keadilan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pekan Rantau, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 04 APRIL 2019

SEREMBAN – Idealisme perjuangan reformasi yang kini berusia 20 tahun perlu diteruskan demi memartabatkan aspirasi rakyat menjadi realiti sebagai sebuah negara yang maju dan menjayakan semua kaum.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, daripada parti kecil PKR kini membesar sebagai sebuah parti besar di Kerajaan Persekutuan.

“Walaupun kita berada dalam platform berlainan, tetapi idealisme perjuangan reformasi perlu diteruskan dalam jiwa kita dan rakyat.

“Ingat bahawa kita bukannya lahir di Istana tetapi di atas jalan hasil titik peluh dan aspirasi rakyat yang mahu melihat perubahan menyeluruh pengorbanan dan ketekunan dalam meraih sokongan rakyat bersama kita.

“Maka 20 tahun itu adalah muda untuk seseorang manusia tetapi untuk sebuah parti ia adalah satu perjalanan yang jauh berdepan pelbagai cabaran dan ujian sebelum lahir dengan keringat rakyat,” katanya semasa berucap Dua dekad Merakyatkan Reformasi PKR di dataran Rantau malam tadi di hadapan kira-kira 2,000 penyokong dan pemimpin parti itu.

Tambah beliau hari ini, rakyat bersama PKR dan kerajaan tetapi idealisme tetap diteruskan untuk menjadi sebuah parti suara rakyat untuk memartabatkan mereka.

Menurutnya, PKR adalah satu-satunya parti yang bersifat Malaysia sebelum membentuk sebauh parti besar yang disertai warga Malaysia serata negara.

“Saya percaya bahawa dengan semangat yang ditunjukkan rakyat, inilah yang disifatkan Anwar Ibrahim PKR adalah parti untuk masa depan Malaysia dan rakyat.

“Sebagai kerajan kita perlu terus menjadi sebuah kerajaan berjiwa rakyat dan parti inilah yang suatu ketika dahulu memulakan perjalanan poltik sebagai pembangkang melahirkan Timbalan Perdana Menteri Wanita yang pertama negara,” tegasnya.

Dalam pentas sama, beliau turut menyatakan dengan semangat idealisme perjuangan reformasi itu, mempunyai harapan tinggi kerusi DUN Rantau dapat diramps kali pertama dari BN.

“Rakyat sudah memberi kita sokongan besar pada PRU14 lalu dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan yang terbaik untuk merealisasikan aspirasi rakyat.

“Kami juga mampu memujuk rakyat seluruh negara demi perubahan selepas 60 tahun dan saya juga yakin InsyaAllah kami juga mampu memujuk pengundi Rantau supaya Streram diangkat sebagai wakil rakyat yang membawa suara mereka sidang Dewan Undangan Negeri Sembilan.

“Saya berkeyakinan tinggi kerusi ini buat kali pertama jatuh ke tangan Pakatan Harapan,” tegasnya lagi di majlis sambutan yang turut dihadiri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan calon PH, Dr S. Streram malam tadi.- MalaysiaGazette