Mahathir Mohamad
Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) dibenar untuk meneruskan operasi penapisan sisa buangannya di Gebeng, Pahang kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bagaimanapun, syarikat itu perlu memenuhi beberapa syarat tambahan yang dikenakan.

Perdana Menteri berkata, antara syarat tersebut ialah syarikat itu perlu mengurangkan tahap radioaktif bahan mentah sebelum membawanya keluar dari negara ini.

“Kita telah mengenakan syarat tambahan yang perlu diikuti iaitu sisa buangan itu perlulah dibersihkan terlebih dahulu.

“Mereka akan meleraikannya dan membuangnya dengan beberapa cara kerana ia ada kaitan dengan radioaktif.

“Jadi apabila bahan buangan itu ada di sini kesan radioaktif itu dapat dikurangkan dan ia tidak berbahaya kepada sesiapa,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Rabu lalu, Menteri Alam Sekitar Australia, Melissa Price berkata, Malaysia telah meminta Australia menerima 450,000 tan metrik sisa radioaktif yang dihasilkan oleh Lynas di sini.

Dr Mahathir pada hari sebelumnya berkata, Kabinet akan bertemu Australia untuk menentukan pendirian Kerajaan Persekutuan mengenai pengurusan sisa radioaktif Lynas Malaysia Sdn Bhd.

Calon Pakatan Harapan (PH), Fuziah Salleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lepas berkempen melawan Lynas dan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan.

Jawatankuasa kaunseling Parlimen khas dibentuk oleh PH untuk memantau Lynas selepas ia parti itu berjaya membentuk kerajaan baharu.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebelum ini berkata, Lynas mesti menghormati ikrar untuk menghapuskan residu ‘Water Leached Purification’ (WLP) agar lesen operasinya diperbaharui.

Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Md Yusof memberikan pandangan yang bercanggah apabila menyatakan kilang Lynas akan diteruskan sebagai salah satu usaha kerajaan untuk menarik FDI ke Malaysia. – MalaysiaGazette