Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan sebahagian orang ramai yang hadir pada Program Santai bersama 'Bossku' sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Restoran Syamiera Corner di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 04 APRIL 2019.

RANTAU – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sering menggelarkan dirinya sebagai perompak.

Menurut Najib, tuduhan itu tidak wajar dilemparkan kerana semasa pemerintahannya, beliau meninggalkan RM174 bilion wang dalam akaun Petronas.

“PH jarah duit petronas RM82 bilion. Kalau saya perompak, perompak mana tinggal RM174 bilion duit Petronas?

“Tahun sudah, dividen Petronas cuma RM17 bilion kerajaan ambil sebab saya nak Petronas labur dalam industri gas dan minyak. Cari telaga minyak baru supaya tidak pupus sumber minyak.

“Hari ini mengikut Azmin (Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali) kalau kita tidak cari telaga minyak baru, kita boleh bertahan 10 tahun sahaja.

“Sebab itu pada zaman BN, kita tambah supaya Petronas melabur, tapi dia mudah-mudah jarah, dia cekau, tetapi bantuan kepada rakyat miskin menguncup,” katanya dalam Program Santai bersama ‘Bossku’ di Restoran Syamiera Corner di Bandar Sri Sendayan, semalam.

Najib berkata demikian pada siri kempen calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Najib mempertahankan dirinya dengan menggalakkan Petronas untuk melabur dalam bidang minyak dan gas bagi mendapatkan lebih pendapatan.

Ini kali pertama Najib turun ke Pilihan Raya kecil (PRK) DUN Rantau.

PRK Dewan Undangan Negeri Rantau menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara Mohamad dengan calon PH, Dr S Streram dan 2 calon bebas, iaitu Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin. -MalaysiaGazette