Peta kawasan Pilihan Raya Kecil Parlimen P.186 Sandakan pada sidang media Pilihan Raya Kecil Parlimen P.186 Sandakan di Dewan Serbaguna, Menara SPR, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 05 APRIL 2019.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P. 186 Sandakan pada 11 Mei depan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, penamaan calon pula ditetapkan pada 27 April manakala tarikh mengundi awal pada 7 Mei.

Beliau berkata, seramai 40, 131 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih individu 2018 yang dikemaskini sehingg 28 Mac lalu.

“Tempoh berkempen selama 14 hari dan kos bagi menjalankan PRK ini sebanyak RM3.1 juta,” katanya pada sidang media PRK P. 186 Sandakan di sini hari ini.

MGF05042019_PENGUMUMAN SPR SANDAKAN47
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menyerahkan Watikah Pelantikan kepada Mohamad Hamsan Awang Supian sebagai Pegawai Pengurus bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sandakan pada sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sandakan di Dewan Serbaguna, Menara SPR, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 05 APRIL 2019.

Beliau berkata, seramai 770 orang petugas dilantik untuk mengendalikan PRK berkenaan dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Mohamad Hamsan Awang Supain dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK berkenaan dengan dibantu lima orang penolong pegawai pengurus.

SPR akan menggunakan Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SJKC) Tiong hua Sandakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi.

Dalam pada itu Azhar berkata, SPR akan menyiarkan proses penamaan calon, pengeluaran kertas undi pos, pengundian awal, semakan peti undi, pengundian, pengiraan undi dan keputusan PRK ini secara langsung melalui Facebook live SPR.

PRK DUN Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang merupakan Pengerusi DAP Sabah.

Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu, pada jam 12.15 tengah pada 28 Mac lalu.

Mendiang memenangi Parlimen Sandakan buat penggal kedua pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menjadi ADUN (dilantik) sebelum ditawarkan menjadi Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah pada Mei tahun lepas.

Semasa PRU-14 yang lalu, mendiang menang atas tiket DAP dengan majoriti 10,098 mengalahkan calon BN, Datuk Lim Ming Ho dengan jumlah keseluruhan 19,094 undi.

PRK Sandakan merupakan PRK kali pertama di Sabah selepas PRU-14.

Stephen menjadi sebahagian anggita daripada Kerajaan Negeri Sabah apabila Kerajaan BN Sabah tumbang, ekoran pengkhiantan enam ADUN BN, empat daripada UMNO dan dua UPKO.

Menerusi PRK Sandakan, rakyat Sabah akan mengetahui hala tuju sebenar politik Sabah yang semakin celaru selepas pasca PRU-14. – MalaysiaGazette