Alexis Sanchez.

LONDON – Penyerang Alexis Sanchez dilaporkan berada dalam senarai untuk dijual pada harga £50 juta (RM267 juta) pada musim panas ini.

Metro.uk.com melaporkan pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer terpaksa berbuat demikian kerana kecewa dengan prestasi pemain antarabangsa Chile itu, situasi sama dialami Jose Mourinho.

Sanchez sebelum ini mempamerkan aksi luar biasa bersama Arsenal selama tiga musim.

Pemain berusia 30 tahun itu berhijrah ke Old Trafford pada Januari 2018 menerusi pertukaran dengan Henrikh Mkhitaryan.

Penyokong United ketika itu mengalu-alukan kehadiran Sanchez di Old Trafford tetapi malangnya dia gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Dia hanya menjaringkan lima gol dalam 41 penampilan pada semua perlawanan.

Solskjaer kini melihat Sanchez tidak termasuk dalam perancangannya dengan kelab berharap dapat menarik pembeli berpotensi.

Penjualan Sanchez juga dilihat sebagai peluang untuk David De Gea menandatangani kontrak baharu bersama United.

Harapan Sanchez untuk terus kekal bersama United terjejas bulan lalu selepas dia bergelut dengan kecederaan lutut.

Namun Sanchez menegaskan dia mahu membawa kegembiraan kepada penyokong United dan membantu pasukan memenangi lebih banyak trofi musim depan. – MalaysiaGazette