Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama veteran yang hadir pada Sembang Santai Veteran ATM bagi membantu calon PH, Dr. S. Streram yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Restoran Makan Time, Sendayan, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 06 APRIL 2019.

PRK RANTAU – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ada dalam jadual kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Presiden PKR itu, timbalannya itu masih aktif untuk berkempen membantu calon Pakatan Harapan (PH),  Dr.S. Streram.

“Semua datang (sambutan 20 tahun PKR)…dia (Azmin) pun datang malam itu…kempenlah itu..saya ingat dalam jadual (kempen) dia ada,” katanya dalam sidang media selepas perjumpaan bersantai dengan sekumpulan Veteran Tentera bersara di Bandar Sendayan petang tadi

Beliau berkata demikian mengulas kenapa kelibat Menteri Hal Ekonomi itu tidak kelihatan dalam siri kempen PH sejurus selepas sambutan dua dekad merakyatkan Reformasi PKR di Dataran Rantau dua hari lalu.

Malah tambah Anwar, PH dan PKR Selangor juga turun berkempen dengan jentera secara penuh.

“Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari juga menjelaskan kempen berjalan dengan baik.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah turun berkempen sebelum ini dan saya juga membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad semalam dan dia beri sokongan kuat dan dia minta saya sampaikan.

“Tapi sama ada dia perlu hadir atau tidak saya akan bincang dengan dia. Dia nak travel saya pun simpati tapi yang lain semua datang. DAP, Amanah, PKR, Tan Sri Rais (Yatim) ada datang,” tegasnya. – MalaysiaGazette