Pesawat 737 Max. foto Agensi

CHICAGO/SEATTLE- Boeing Co merancang untuk mengurangkan hampir 20 peratus pengeluaran Boeing 737 berikutan penggantungan operasi pesawat MAX susulan dua insiden terhempas melibatkan kapal terbang jenis itu baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dennis Muilenburg, penghantaran pesawat yang mencatatkan jualan tertinggi itu dibekukan selepas operasinya digantung di seluruh dunia susulan kematian 157 penumpang apabila kapal terbang 737 MAX milik Ethopian Airlines terhempas 10 Mac lalu.

Sebelum itu, pesawat jenis sama milik Lion Air turut mengorbankan 189 penumpang apabila terhempas pada penghujung Oktober tahun lepas.

Jelas Muilenburg, pengeluaran akan dikurangkan kepada 42 buah sahaja berbanding 52 sebelum ini bermula pertengahan April.

Katanya, syarikat maklum mengenai penyebab berantai kedua-dua kemalangan tersebut iaitu kegagalan pengaktifan perisian anti-terhenti MCAS.

Dengan itu, lembaga Boeing akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyemak semula rekaan dan pembangunan pesawat.

Syarikat tambahnya, akan mencadangkan penambahbaikan dalam dasar dan prosedur bagi program 737 MAX dan pesawat-pesawat lain.

Dalam pada itu, Boeing menegaskan tiada pemberhentian pekerja dilakukan meskipun pengeluaran pesawat dikurangkan.

Syarikat juga katanya akan cuba mengurangkan kesan kewangan akibat langkah terbaharu itu. – MalaysiaGazette