Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi berucap pada Sesi Town Hall Politik Malaysia Baharu di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berhasrat untuk kembali daripada cutinya dalam masa terdekat.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan kembali bertugas sekiranya diperlukan untuk mengukuhkan parti itu.

“Kalau saya menamatkan cuti, adalah untuk memperkukuhkan parti, saya akan tamatkan cuti.

“Kalau saya bercuti, parti terus kukuh, saya akan sambung cuti. Ertinya saya tiada tempoh tertentu.

“Apa yang penting bukan soal desakan daripada ahli-ahli di akar umbi tetapi jika benar-benar saya diperlukan, perkhidmatan saya akan melata bila-bila masa sahaja,” katanya pada Sesi Town Hall Politik Malaysia Baharu di Pusat Dagangan Dunia Putra  hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau mempunyai keyakinan tinggi terhadap timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memperkukuhkan parti termasuk menyatupadukan kepimpinan UMNO semua peringkat.

“Bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah melakukan terbaik, jika saya diberikan tanggungjawab, saya akan lakukan yang terbaik.

“Saya harap ketika Tok Mad lakukan tugas-tugas presiden, lakukanlah dengan terbaik untuk menyatukan ketua-ketua UMNO bahagian yang ada.

“Ketepikan kabilah-kabilah, mana ada kabilah Semberong, Rantau atau Bagan Datuk, kita hanya ada satu kabilah iaitu UMNO Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut berkongsi nasib beliau dan Najib yang kini berdepan dengan pertuduhan di mahkamah.

“Kalau kita lihat Bossku, dihina dan dituduh dengan pelbagai tuduhan, tapi Bossku adalah paling popular di Malaysia sekarang ini.

“Ini kerana kebenaran itu akhirnya datang. Kalau Bossku ada 42 tuduhan, saya cuma 47 tuduhan sahaja, kalau Bossku ada tiga kategori tuduhan, saya pun sama.

“Macam mana saya nak pecah amanah atau seleweng duit saya sendiri? Takkan saya rasuah duit saya sendiri. Itu bukan saya kata, itu orang itu kata,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos mahu Ahmad Zahid menamatkan cuti dan bersama-sama bekerja menguatkan parti,- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/31/jamal-mahu-zahid-kembali-kerja-jangan-cuti-lama-lama/