Mohamad Sabu

SEREMBAN – Mohamad Sabu mengakui sepanjang bersama Pas selama 38 tahun, beliau tidak pernah berkempen untuk calon bukan Islam pada mana-mana Pilihan Raya Umum ataupun Pilihan Raya Kecil (PRK).

Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu berkata, ia berlaku disebabkan Pas tidak pernah berkawan dengan parti lain.

“Saya dulunya 38 tahun dalam Pas tak pernah berkempen untuk calon bukan Islam sebab kami masa itu tak berkawan dengan parti lain.

“Pas dulu hanya dapat sokongan orang Melayu dan Islam ketika itu, tetapi pemimpin pemimpin kita waktu itu, Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz dan lain lain memikirkan kalau kita pertahankan dengan undi orang Melayu sahaja sampai bila pun jadi pembangkang sahaja.

“Boleh memerintah Terengganu, Kelantan tetapi Malaysia amat sukar,” katanya semasa berceramah untuk meraih sokongan undi penduduk Rantau di Kampung Mambau bagi calon
Pakatan Harapan Dr. S.Streram malam tadi.

Kemudian katanya, pada 2008 Pas membuat perubahan yang mana bergabung dengan PKR dan DAP secara terbuka untuk memerintah Malaysia.

“Bila gabungan itu terlaksana, rakyat tengok mereka boleh ganti Barisan Nasional, maka menang lima negeri pada Pilihan Raya Umum 2008, yang mana negeri tak pernah menang seperti Kedah Selangor, kita menang juga serta Pulau Pinang

Gabungan ini kita teruskan sehingga 2013 sebelum kalah balik dua negeri tetapi undi popular lebih 52 peratus memihak kami.

“Maka pda 2018 datang parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) campur dengan parti-parti sedia ada PAN, PKR dan DAP sebelum ambil alih Malaysia.

“Bila ambil alih Malaysia sekarang ini, pembangkang terutama UMNO-Pas takda lain, ia memainkan isu perkauman dan itu sahaja jalan untuk mereka menarik undi Melayu seramai-ramainya supaya orang Melayu tak percaya dengan Pakatan Harapan.

“Kini mendakwa PH dikuasai DAP, LIm Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng memerintah Malaysia sehingga menabur fitnah bahawa semua agensi kerajaan dikuasai DAP,” katanya.

Menteri Pertahanan itu meminta pengundi Rantau supaya membuat pilihan bijak pada 13 April ini sama ada mahu memberi mandat kepada PH atau memenangkan BN.

“Pada 13 April ini tuan tuan buat pilihan sama ada mengundi PH atau BN, pilih Pakatan Pun takpa tolak BN pun takpa,” ujarnya.-MalaysiaGazette