Kevin De Bruyne.

MANCHESTER – Banyak yang diperkatakan tentang stadium baharu Tottenham Hotspur namun pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne berkata, rakan sepasukannya tidak gementar bermain di gelanggang baharu itu apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-jura Eropah.

“Saya tidak ambil pusing mengenai stadium ini,” kata pemain antarabangsa Belgium itu kepada wartawan sebelum kunjungan peratma City ke stadium yang boleh memuatkan 62,062 penyokong, esok.

“Saya hanya ambil kisah tentang pasukan yang kami hadapi. Semua orang cakap mengenai stadium ini seolah-olah ia adalah istimewa. Semua orang (pasukan) ada stadium, semua orang (pasukan) ada penyokong.

“Mereka akan menghadapinya, mereka mungkin teruja lebih sedikit tetapi pada akhirnya ia adalah sebuah stadium dengan penyokong. Saya tidak rasa terdapat sebarang kelainan,” katanya seperti dilapor Reuters.

Pasukan itu yang kini menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris, dua mata di belakang Liverpool namun kekurangan satu perlawanan, melangkah ke final Piala FA selepas mengalahkan Brighton and Hove Albion 1-0 kelmarin.

City yang telah menjulang Piala Liga pada musim ini masih lagi berada pada landasan untuk memenangi tiga lagi kejuaraan namun De Bruyne berkata: “Tiada guna bercakap mengenai perkara itu,”.

“Anda tahu bagaimana sendat jadual (perlawanan)? Saya rasa ramai yang meremehkan bagaimana perlawanan berlalu

“Kami tidak mempunyai masa untuk berehat, oleh itu bagaimana kami boleh berfikir mengenai apa yang akan berlaku dalam tempoh empat minggu?” – Agensi