Ahli perniagaan, G. Gnanaraja berjalan keluar selepas mendengar beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, M. G. Gnanaraja yang sebelum ini didakwa menipu sebuah syarikat dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang kini didakwa lagi.

Kali ini tertuduh didakwa sebanyak 68 tuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai RM11.4 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

G Gnanaraja didakwa mengarahkan RM11.4 juta yang dipercayai hasil aktiviti haram dalam akaun bank Bumi Muhibah Capital Holdings Sdn. Bhd. di mana beliau dikatakan menjadi pengarah dari 28 Julai 2017 hingga 18 Januari 2018, dibayar kepada pelbagai syarikat dan individu.

Jumlah tertinggi RM2.4 juta dibayar kepada sebuah syarikat Matthew Ong & Associate manakala RM2.2 juta dibayar kepada Kementerian Dalam Negeri.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah wang haram itu.

Dua jurubahasa mengambil masa lebih satu jam untuk membaca semua 68 pertuduhan itu kepada Gnanaraja di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob.

Beliau kemudiannya dibenarkan diikat jamin RM50,000 dan diarah menyerahkan satu geran tanah kepada mahkamah sebagai sebahagian syarat jaminan.

Timbalan pendakwa raya, Alan Suman Pillai memohon pertuduhan itu didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam di mana dia didakwa dengan tiga pertuduhan menipu pada minggu lalu.

Peguam, Geethan Ram Vincent yang mewakili Gnanaraja tidak menolak pemindahan kes itu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gnanaraja dituduh tipu RM19 juta untuk tutup siasatan terowong Pulau Pinang