Pesawat pejuang F-35

SEOUL – Korea Utara mengutuk jirannya di selatan berikutan  keputusan negara itu mengerahkan jet pejuang, F-35A generasi kelima buatan Amderika Syarikat (AS) di rantau itu, menurut portal portal berita, Uriminzokkiri milik Korea Utara.

Menggesa Seoul mengkaji semula potensi ‘situasi bencana’ berikutan kerahan jet pejuang itu, portal tersebut menekankan ‘tindakan tidak mesra ini memburukkan lagi ketegangan ketenteraan ke atas Semenanjung Korea dan ia merupakan cabaran secara langsung terhadap usaha mencapai keamanan’.

Korea Selatan yang menempah 40 buah pesawat F-35-A telah menerima dua pesawat pada bulan lalu dengan lapan buah pesawat yang sama dijangka dihantar pada penghujung tahun ini.

Penghantaran baki pesawat yang bernilai AS$85 juta sebuah itu dijangka dilakukan sehingga 2021.

Sebelum penghantaran itu, juruterbang Korea Selatan menghabiskan masa selama berbulan-bulan melakukan latihan ke atas enam pesawat F-35A di Arizona, AS.

Kebanyakan pesawat tentera udara Korea Utara menggunakan pesawatn buatan Rusia, termasul pesawat yang dihasilkan menerusi pemilikan lesen membabitkan pesawat MiG-21 , Su-25, MiG-23 dan MIG-29.

Pada awal tahun ini, kemajuan mencapai keamanan di semenanjung itu menemui jalan buntu pada perjumpaan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Donald Trump di Hanoi berikutan kegagalan rundingan yang dilakukan.

Pada minggu lalu, Pemangku Ketua Pentagon, Patrick Shanahan menekankan bahawa AS tidak akan mengurangkan latihan ketenteraan dengan Korea Selatan, malah menambah negara itu sedang meningkatkan keupayaannya. – Agensi