Telefon bimbit di antara alat komunikasi yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam mesyuarat penting kerajaan. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Demi mengelakkan kebocoran rahsia, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia telah mengarahkan supaya para pegawai tidak menggunakan alat komunikasi semasa menghadiri mesyuarat yang menyentuh perkara sulit.

China Press melaporkan, keputusan itu juga membabitkan agensi kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, dan pegawai yang diliputi arahan itu termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, pegawai kerajaan dan individu berkenaan.

Alat komunikasi yang dilarang pula termasuk telefon bimbit, jam tangan pintar, kamera, perakam suara dan tablet.

Surat mengenai arahan itu telah dikeluarkan pada 5 Mac lalu dan mulai diedar kepada agensi-agensi mulai 7 Mac.

Garis panduan mengenai penggunaan alat telekomunikasi itu bertujuan mengelakkan kebocoran berita sebelum sesuatu polisi diumumkan.

Pihak atasan justeru perlu mengenal pasti jenis mesyuarat, bilik mesyuarat, malahan tempat lain yang dilarang penggunaan alat komunikasi.

Dalam pada itu, pengerusi atau setiausaha mesyuarat perlu memantau peserta mesyuarat supaya mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Peserta mesyuarat perlu meletakkan telefon dalam keadaan mod senyap di atas meja.

Pengerusi boleh menghentikan mesyuarat dan meminta nama peserta yang melanggar peraturan dicatatkan jika dia menggunakan telefon semasa mesyuarat sedang berjalan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan