Dr. Mujahid Yusof Rawa
Dr. Mujahid Yusof Rawa

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar tidak berpura-pura tidak tahu keadaan kewangan dan aset semasa Lembaga Tabung Haji (TH) yang bermasalah ketika memerintah negara sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan, Najib yang lebih sinonim dengan gelaran Bossku tidak sewajarnya tidak mengetahui perkara itu sedangkan perkara itu berlaku semasa kepimpinan sejak 2015.

“Kalau hari ini UMNO kata kita tak jaga TH, kenapa kita bayar dividen, Bossku pun kata patut kita bayar lebih, jangan pura-pura tak tahu, kura-kura dalam perahu, sudah tahu bertanya pula

“Jangan berpura-pura, beritahu orang macam dia tak tahu apa. Kalau mereka betul-betul prihatin kepada TH ini, sudah tentu mereka akan bertindak secepat mungkin,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mujahid berkata, Najib tidak sepatutnya berpura-pura kerana amaran mengenai ketenatan kewangan dan aset TH sudah dikeluarkan Gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam satu surat kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharim pada 23 Disember 2015.

“Tan Sri Zeti menulis surat kepada Datuk Seri Jamil Khir bertarikh 23 Disember 2015 memberi amaran, TH mengalami masalah kekurangan aset.

“Akta Tabung Haji meletakkan terang dan jelas itu Seksyen 22 menyatakan bahawa agihan boleh untung iaitu dividen atau hibah mesti menepati dua syarat itu mesti ada untung dan aset tidak boleh lebih rendah daripada tanggungan

“Ketika amaran diberikan, kerana takut melanggar akta ini, menteri pada waktu itu bukan saya, tidak ambil apa-apa tindakan bahkan timbalannya pun sama mereka membiarkan keadaan itu tanpa apa-apa tindakan

“Jangan kata kami saja tahu benda itu, mereka (BN) lebih tahu lebih awal, bahkan tidak cukup, bila kami maklum isu ini, waktu itu kami dalam pembangkang, kami telah membangkitkan isu kerugian ini

“Kalau hari ini pembangkang khususnya pemimpin-pemimpin UMNO yang kebanyakan menjadi ahli lembaga pengarah TH lepas, kalau mereka nak tuduh kami kononnya menyebabkan apa berlaku, itu satu pembohongan cukup besar sebab mereka diberikan amaran sejak 2015,” katanya lagi. – MalaysiaGazette