Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Malaya di Auditorium, Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan nasihat yang diberikan oleh Datuk Zaid Ibrahim sebagai pandangan peribadinya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, biarlah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu membuat tanggapan sendiri mengenai dirinya.

“Tak apalah itu pandangan dia,” katanya ringkas ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Food Bank Siswa, di Universiti Malaya, di sini hari ini.

Presiden PKR itu diminta mengulas nasihat Zaid agar beliau tidak terlalu teruja apabila menerima pujian daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Zaid berkata demikian melalui ciapan terbaharunya di akaun Twitter malam tadi.

Menurut Zaid yang pernah menyertai PKR pada 2008, Anwar masih memiliki perjalanan yang terlalu jauh.

Anwar ketika diminta mengulas kenyataan perdana menteri itu pula berkata, beliau menghargai apa yang telah dibacanya menerusi akhbar pada hari tersebut.

Hadir sama pada program yang dihadiri Anwar itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – MalaysiaGazette